Thursday, 30 March 2017

Hantu Penanggal di Asia Siri

Add here the code of your ad

KISAH BALAN-BALAN (BAJAU) DAN KUMOKODONG (KADAZAN) DI SABAH
Menurut kepercayaan masyarakat Bajau Kota Belud, makhluk penanggalan ialah orang biasa yang masih hidup yang bertukar menjadi balan-balan apabila berlaku kelahiran atau kematian. Balan-balan ini adalah dalam bentuk jasad manusia yang berjalan diwaktu malam dan subuh apabila tercium bau kelahiran atau kematian, untuk mencuri bayi yang baru lahir dan tali pusat belum dipotong, atau jasad orang yang meninggal dunia.

Balan-balan mencuri jasad dengan cara menjulurkan lidahnya dari bumbung atau dari bawah rumah, dan menggantikan jasad itu dengan batang pisang. Jasad yang dicuri akan dilenggang dalam perahu untuk ditukar menjadi ikan (ini versi kisah balan-balan daripada kaum Irranun, mungkin disebabkan mereka rata-ratanya berkerja sebagai nelayan).

Balan-balan daripada kaum Bajau dan DusunTindal akan mencuri jasad dan memakan tali perutnya.
Untuk mengetahui samada balan-balan berada berdekatan ialah dengan mendengar hilai ketawanya umpama bunyi seperti kuda tetapi nyaring. Sekiranya bunyi hilai ketawanya kuat didengar, maknanya balan-balan itu berada jauh dari tempat orang yang mendengar, tetapi sekiranya bunyinya kedengaran sayup-sayup di kejauhan, bermakna balan-balan itu berada dalam kawasan berdekatan.

Balan-balan tidak tahan dan takut kepada air dan bau limau. Oleh itu, bila ada kelahiran atau kematian, tuan rumah akan meletakkan air di tempat tertentu dan meletakkan limau atau daun limau di bawah rumah (bagi rumah bertiang) atau disekitar jasad bayi atau mayat (bagi rumah tidak bertiang), dan api dipasang disekeliling rumah.

Kaum Kadazandusun memanggil balan-balan dengan nama 'babalan' atau 'kumokodong'. Kumokodong bermaksud tertanggal atau terpisah dari kata-akar "kodong" yang bermaksud 'cabut' atau 'tanggal'.

Dipercayai balan-balan atau kumokodong mula mempengaruhi kepercayaan kaum Kadazandusun setelah berlakunya penghijrahan etnik-etnik berasal dari Selatan Filipina dan wilayah Indonesia ke wilayah Sabah yang dikuasai Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada suatu ketika dulu. Kaum Kadazandusun juga diberitahu oleh mereka akan kelemahan ilmu balan-balan bagi tujuan berjaga-jaga.

Kepercayaan Kadazan mengatakan jika seseorang ingin berjalan pada waktu malam dengan membawa daging atau sesuatu yang mempunyai darah, mereka akan berasa takut kerana walaupun beban daging yang dibawa tidak berat tetapi tiba-tiba akan terasa berat bagi pemikulnya. Ini disebabkan mereka percaya bahawa ada sesuatu yang menarik daging berkenaan seolah-olah menghalang pembawa daging dari terus menjalankan perjalanan mereka. Untuk mengelakkannya, seseorang itu harus memberi (membuang) sedikit daging tersebut kepada 'makhluk' berkenaan.

Kumokodong dipercayai adalah hantu jadian dimana kepalanya akan tercabut bersama tali perutnya dari badan. Ia akan keluar apabila ada kelahiran atau kematian, juga dengan tujuan yang sama dengan balan-balan. Kumokodong amat menakuti kepada air dan bau limau, tetapi yang paling ditakutinya ialah 'garagai', iaitu ranting-ranting buluh yang sudah kering serta dahan pokok berduri.

Kisah seram hantu Balan-balan Bajau Kota Belud yang popular di zaman moden ini dipercayai heboh berlaku dalam tahun 1960an dan 1970an sahaja. Walaupun dikatakan sumpahan balan-balan dan kumokodong ini menurun atau diwarisi mengikut kepercayaan masyarakat Bajau dan Kadazandusun, tetapi disebabkan oleh kepercayaan dan amalan ilmu hitam sudah diambilalih oleh kepercayaan mengikut agama yang percaya kepada kuasa Tuhan, menyebabkan cerita-cerita hantu ini dianggap sebagai cerita tahyul sahaja.